Saturday 30 August 2014

Jurnal

Laporan Lawatan Ilmiah Kelas DHK 1C ke Muzium Negara
Disediakan oleh : Annis Hizani Bt Badrul Hisham

Pada minggu lepas , bertarikh 26 Ogos 2014 , kelas DHK 1C daripada Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti Politeknik Sultan Idris Shah , Sabak Bernam telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Muzium Negara di Kuala Lumpur baru - baru ini.  Seramai 37 orang pelajar semester 1 yang terlibat dan seorang pensyarah iaitu Encik Kazar Bin Razali yang bertindak sebagai guru pengiring kami. Lawatan yang diadakan pada hari Selasa ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada kami tentang sejarah awal negara dan pembentukan Malaysia seiring dengan subjek pembelajaran kami iaitu subjek Pengajian Malaysia yang berada di bab 3 di buku Pengajian Malaysia kami.

Objektif lawatan ini ditetapkan untuk menambahkan ilmu pengetahuan kami tentang sejarah dan pengenalan Malaysia kepada kami. Selain itu, melalui lawatan ini juga kami dapat memupuk semangat cinta akan negara sesama kami selain dapat meningkatkan patriotisma dalam diri kami. Kami juga dapat mempelajari teladan - teladan yang berkaitan dengan sejarah negara kami. 

Pada pukul 6.30 pagi , kami berkumpul di hadapan bangunan Anjung Pesona untuk mendengar taklimat daripada pensyarah pengiring kami iaitu Encik Kazar. Selepas mendengar taklimat ringkas dan sarapan diagihkan , tepat pada pukul 7.00 pagi, kami bertolak ke Muzium Negara dengan menaiki bas rasmi Politeknik Sultan Idris Shah. Perjalanan kami mengambil masa 2 jam.



Para pelajar DHK 1C baru sahaja tiba di Muzium Negara


Para pelajar kelas DHK 1C bergambar di Muzium Negara


Kami tiba di Muzium Negara pada pukul 9.30 pagi dan disambut oleh wakil pihak muzium negara , Encik Badrul Hisham Bin Abdul Rahman dan Cik Fadhliatul Binti Azmi. Menurut Encik Badrul , muzium ini mempunyai 4 buah galeri di mana setiap galeri tersebut mempamerkan tentang tahap – tahap pembentukan dan kemajuan Malaysia sehingga kini. Selepas menyelesaikan urusan tiket , kami memulakan lawatan kami di Galeri A.

Menurut Encik Badrul, Galeri A banyak memaparkan pameran tentang pembentukan bumi dan sejarah awal negara. Di galeri ini, saya dapat mempelajari bahawa Malaysia telah melalui tiga zaman prasejarah utama iaitu Zaman Paleolitik , Neolitik serta Zaman Besi dan Gangsa. Manusia zaman prasejarah ratanya menjadikan alam semulajadi sebagai sumber kehidupan mereka misalnya gua dijadikan tempat tinggal, siput dijadikan sumber makanan , kulit kayu dijadikan pakaian dan pelbagai lagi. Perkara baru yang dapat dipelajari ialah lukisan gua atau cave drawingdaripada Hematif iaitu sejenis bahan pewarna purba sebagai tujuan komunikasi mereka dan budaya megalit yang diamalkan oleh masyarakat Sabah dan Sarawak sehingga kini iaitu sejenis batu yang dipahat sendiri dan dipercayai mempunyai keramat. Sehingga kini, budaya megalit masih diamalkan dalam upacara – upacara sembahyang walaupun dalam masyarakat islam.

Batu giling dan penggiling digunakan untuk mengisar hematif

Batu yang dipahat dipercayai mempunyai keramat.

Kami meneruskan perjalanan kami ke Galeri B yang memaparkan maklumat tentang kerajaan – kerajaan Melayu Lama dan  Kerajaan Melaka. Kerajaan – kerajaan seperti Majapahit , Champa , Kedah Tua merupakan kerajaan yang wujud sebelum kerajaan Melaka. Kerajaan tersebut mempunyai rangkaian perdagangan yang luas dan banyak negeri jajahan. Akibat daripada perluasan kuasa inilah, terbentuknya kerajaan Melaka yang akhirmya menjadi pelabuhan yang sangat maju dan menjadi salah satu kuasa yang kuat. Selain itu , kami dapat pengetahuan yang mendalam tentang keris-keris sebagai lambing kekuasaan dan kedaulatan melayu.


Sebahagian serpihan artifak barang dagangan yang ditemui di Pulau Tioman.



Gambaran armada kerajaan Majapahit dan senjatanya.

Galeri C pula mempamerkan tentang era colonial di mana ia menerangkan tentang kejatuhan empayar Melaka bermula dari penjajahan Portugis sehinggalah ke penjajahan lain sehingga mewujudkan semangat nasionalisme di kalangan warga intelektual. Kerajaan Melaka terkenal dengan kekayaan barang mentah dan hasil hutan seperti bijih timah , rempah ratus dan pelbagai lagi yang menarik minat kuasa besar untuk dieksploitasi. Kehidupan rakyat pada zaman penjajahan juga tidak tenteram kerana pembunuhan berlaku di mana-mana sahaja sehingga darurat diisytiharkan. Disinilah kesedaran nasionalisme di kalangan golongan berpendidikan tinggi dipergiatkan.

Perjalanan kami berakhir pada Galeri D dimana maklumat tentang pembentukan Persekutuan Tanah Melayu sehingga ke pencapaian Malaysian sehingga kini. Terdapat banyak dugaan yang terpaksa dihadapi oleh pemimpin tempatan untuk mendapatkan kemerdekaan Negara. Hasilnya, kami melihat Malaysia sudah mampu untuk berdiri sendiri dan begitu banyak kemajuan yang telah dicapai seperti pembukaan Koridor Raya Multimedia , F1 Sepang Circuit , system satelit MEASAT dan banyak lagi.
 Di sini , kami berasa bersyukur kerana lahir dalam generasi Y yang bebas daripada sebarang kesusahan dan darurat. Kami juga bersa bangga kerana lahir dalam zaman ICT  iaitu zaman teknologi tinggi dan komunikasi yang begitu canggih. Kami berharap semangat patriotic dapat dipupuk melalui lawatan ini untuk menjamin kelansungan kedaulatan Negara oleh pewaris – pewaris pemimpin Negara ini.


Para pelajar bergambar dengan pensyarah Encik Mohd Kazar dan dua orang pengiring iaitu Encik Badrul Hisham dan Cik Fadhliatul.